Freethinker Yang Terpenjara Dalam Fikirannya

"Tahun Ini Mungkin Tahun Terakhirku dalam Wedding Photography"

*Salleh ~ bertopi dan bermisai dan berjanggut dan berbaju hitam dan memegang arak berbungkus plastik biru.


Seorang sahabat telah mengepilkan kepada aku keratan dari dinding Facebook seseorang yang menggelarkan dirinya Salleh. Salleh Gregor Samsa. Aku cuba meneliti setiap bait-bait bualan si Salleh dengan rakan-rakannya dalam keratan tersebut. Mereka bercerita atau lebih tepat, meluahkan perasaan protes terhadap bulan Ramadhan dan kewajipan berpuasa. Status yang tercatat dalam laman mayanya pada 9 Ogos 2010 jam 9.54 pm itu berbunyi, “Kepada yang berpuasa; F**k you off!”. Status ini di sokong oleh 7 orang rakannya yang lain dengan komen-komen yang disangka bernas (kerana barangkali terlalu banyak melantak Beras Bernas semasa protes puasa).


Disember 1998. Dalam tempoh bertenang selepas selesai bereksperimentasi dengan SPM, aku mengikut bapa saudara ke Kuala Lumpur. Sebuah kota yang penuh ‘lumpur’ sebagaimana namanya juga. Zaman itu, pengaruh hardcore/punk sangat kuat dalam diri aku. Namun, aku sendiri tak pasti sama ada aku sekadar dipengaruhi muzik-muziknya yang keras dan bingit, atau idealisme anti-sosial yang cuba diperjuangkan, atau trend-budaya yang cuba dibawa oleh aliran ini. Aku sendiri tidak pasti aku pilih yang mana.


Suatu petang dari petang-petang Disember 1998 itu, aku ke Dataran Merdeka bersama Aichik. Iklan tentang gig yang kami dimaklumkan oleh seorang kenalan 3 hari sebelumnya, membuatkan aku begitu ingin ke situ, buat pertama kalinya menyertai ‘konsert bawah tanah’ bagi diriku. Sebelum ini, aku hanya sekadar melayan sendiri lagu- lagu dari Crass, Rage Against The Machine, Bad Religion, Shelter, God Flesh, Nine Inch Nail, Strife, Cromags, Agent Orange dan banyak lagi yang kebanyakan mainstreamers tak kenal pun siapa mereka-mereka ini.


Maka, petang dari petang-petang Disember 1998 itu aku menyaksikan sendiri, walaupun bukan dari kumpulan-kumpulan yang aku nyatakan tadi beraksi, tetapi dari kumpulan bawah tanah tempatan yang sealiran memainkan peranan di pentas gig hari itu. Cuma pada petang itu agak istimewa. Damage Digital ~ band hardcore/punk dari negara penjajah; Jepun sebagai special appearance. Vokalisnya perempuan. Bekerja sebagai penampal iklan di papan billboard di negaranya. Itu apa yang mereka di gig itu ceritakan.


Salleh Gregor Samsa juga membuat persembahan. Aku tak ingat nama bandnya. Tapi dia menyampaikan caci maki-caci maki dalam bahasa penjajah inggeris, diiringi bunyi-bunyi bising dalam terma punk rock. Dia bertopi jaring warna biru. Mengenakan t-shirt AC/DC hitam. Aku tidak tahu namanya pada masa itu. Sekarang pun aku tidak tahu. Salleh Gregor Samsa juga mungkin bukan namanya yang sebenar. Mungkin nama ‘Salleh’ itu sahaja yang benar.


Selesai 2-3 bands menyampaikan carut-marut dan caci-maki mereka, aku keluar dari dewan kecil gig itu. Giliran Aichik pula ‘menikmati’ kebisingan yang bangsat itu. Aku keluar dari tempat gig dan duduk di sudut jualan. Aichik ada membawa beberapa keping CD dan vinyl yang ditempahnya dari negara luar. Kerja sebagai freelance editor bagi syarikat drama swasta memang agak teruk ketika itu. Ditambah dengan kegawatan ekonomi kapitalis menyebabkan Aichik tiada job agak lama. Menjual stuffs seperti CD dan vinyl hanyalah sebagai langkah alternatif lemah buat masa itu. Jadi, berbekalkan ‘pengalamannya’ sebagai seorang bekas punker yang kembali aktif, langkah alternatif itu bergerak dari gig ke gig.


Salleh Gregor Samsa juga sudah berada di ruang legar di hadapan dewan gig bersama-sama sekutunya. Sebotol alkohol yang dibalut dengan beg kertas kitar semula, ada di tangannya. Bergilir-gilir meneguk ‘kencing pahit dan pedas’ itu bersama-sama teman-teman sekelilingnya. Aku tak pernah merasa air itu. Tapi bila melihat reaksi muka masing-masing tatkala meneguk ‘kencing’ itu, seolah-olah menggambarkan ianya pahit dan pedas.


Pengarah sensasi, U-Wei Hj. Shaari melintas di hadapanku bersama seorang anak kecil yang dipimpin dengan tangan kirinya. Tangan kanannya juga memegang ‘botol kicap’ saiz sederhana. Aku cuma mampu tersenyum dalam keluhan.


Itu bukan pertemuan pertamaku dengan Salleh Gregor Samsa. Tahun 1999, sewaktu aku menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi di Kuantan, kami bertemu semula. Aichik memaklumkan kepadaku ada gig yang dibuat di sebuah pub di Kuantan. Kami pergi dengan membawa stuffs. Special appearance pada hari itu; Crusty Container From Hell. Sebuah band yang entah dari negara kafir mana, aku pun sudah terlupa. Aku turut terserempak dengan Salleh hari itu. Dengan kebiasaannya memegang botol kencing yang berbalut beg kertas kitar semula. Dia tidak membuat persembahan hari itu seingat aku. Cuma berpeleseran di kaki lima di depan pub itu.


Salleh Gregor Samsa. Menjadi agak terkenal semenjak menjadi terlalu vokal dalam paparan dinding Facebooknya. Juga dalam blog Bintang Kertasnya. Berfahaman Freethinker akibat terlalu lama menelan dan membiarkan dirinya diracun karat-karat dunia. Menentang fahaman Melayu (aku pun tak sokong fahaman kebangsaan) dan menentang fahaman beragama. Itulah Salleh Gregor Samsa yang kukenal tanpa pernah bersapa. Kini rakan sekolahku Fuad kuingin bertanya; Aok nak jadi Fuad Gregory Samsu pulok ke???
Message Non-Alert Script: